Air mata ini
tidak berhenti-henti mengalir mengenangkan nasib yang menimpa keluarga aku. Aku
bergegas meloloskan diri ke dalam kereta untuk pulang ke Kuala Lipis melihat
keadaan umi. Encik Azif menegah aku daripada pulang sendirian. Aku
membiarkannya memandu kereta aku ke Kuala Lipis.
Aku pun tidak
tahu mengapa aku membenarkannya mengikut aku pulang bersama. Mungkin aku
terlalu sedih mengenangkan nasib diri aku. Dalam tidak sedarkan aku telah membiarkan
apa sahaja yang berlaku di hadapan mata.
Selepas
mengharungi perjalanan yang pada aku agak jauh akhirnya aku sampai di Hospital
Kuala Lipis. Aku berlari ke kaunter untuk bertanya nombor bilik yang umi
duduki. Aku merempuh kuat pintu bilik tersebut. Aku lihat Encik Azif setia
mengikut ke mana sahaja kaki milik aku melangkah.
Abah setia
duduk disisi umi membelai rambut umi yang sudah mula memutih. Begitu utuh cinta
mereka berdua. Umi banyak memupuk dirinya supaya lebih sabar dalam mengukuhkan
rumahtangga mereka. Abah seperti sudah tidak tahan melihat keadaan isterinya.
Abah tinggalkan
umi pada aku. Abah menangis sedih di tepi tingkap sendirian. Untuk kali pertama
aku lihat abah sedih begitu. Umi genggam erat tangan aku seperti mahu
mengatakan sesuatu. Umi menunjukkan jari telunjuknya ke arah Encik Azif. Encik
Azif datang menghampiri umi.
Umi memegang
tangan Encik Azif dan menyatukan dengan tangan aku. Nafas umi seperti
tercungap-cungap. Abah mula menghampiri umi dan mengajar umi mengucap dua
kalimah syahadah. Innalillah.
Tepat pada
pukul 2.30 petang waktu Malaysia umi menghembuskan nafas terakhirnya di
pangkuan aku dengan disaksikan oleh abah dan Encik Azif. Aku lihat abah tenang
dan redha dengan pemergian isteri kesayangannya. Wajah umi begitu tenang dan
damai sahaja menghadap Allah. “Terima kasih Allah yang mempermudahkan urusan
umiku.”
Aku masih sedih
dengan pemergian umi. Selepas umi selesai menghembuskan nafasnya yang terakhir
abah menghulurkan satu surat yang ditulis oleh umi buat aku. Aku pasti akan
mengalirkan air mata apabila terkenangkan surat itu.
Assalamualaikum anak umi,
Mungkin pada saat dan
waktu along baca surat yang umi berikan pada along ini umi sudah tiada lagi di
dunia ini. Umi harap along, kakak dan abah tabahlah dengan pemergian umi. Tak
perlulah bazirkan air mata along untuk umi. Segalanya sudah terjadi kerana takdir
Allah. Ingat along mati itu pasti. Yang pergi tetap akan pergi dan yang hidup
perlu teruskan hidup.
Umi selalu harapkan
along sebagai tonggak keluarga kita sebab dalam kalangan anak-anak umi alonglah
manusia yang umi kenali seorang yang sangat tabah dalam menempuhi ujian hidup.
Umi mahu along tabahkan abah dengan kakak. Umi tak mahu melihat air mata mereka
tumpah di saat tubuh umi dimasukkan ke dalam liang lahad. Hantarlah umi dengan
penuh senyuman yang along, abah dan kakak rasakan paling manis. Itulah yang umi
harapkan daripada anak-anak umi dan suami umi.
Doakan hidup umi terus
tenang ketika di alam barzakh. Umi mahu along galas tanggungjawab sebagai
tonggak keluarga kita. Jagalah abah sebaik mungkin. Ingatkan kakak jangan
pernah rasa yang umi dengan abah anggap kakak sebagai anak angkat. Dan suruhlah
kakak mencari calon suami yang terbaik untuk dirinya yang boleh memimpin kakak
dengan baik. Cubalah lupakan abang Arie. Biarkan abang Arie tenang disana.
Kakak berhak untuk dapat sebuaha kehidupan yang lebih baik.
Umi juga mahukan yang
terbaik untuk along. Lupakan segala kelukaan yang Wan lakukan pada keluarga
kita. Itu adalah ujian daripada Allah untuk melihat ketabahan umat-Nya. Ujian
yang Allah berikan pada kita itu adalah tanda sayang-Nya pada kita. Carilah
kebahagian untuk diri along. Sudah-sudahlah berkorban untuk orang lain tetapi
hidup along tidak semenggah yang umi impikan.
Terimalah Azif Arrayan
dalam kehidupan along. Umi tahu anak umi bijak. Anak umi bijak dalam membuat
sesebuah keputusan untuk hidup dia. Fikirlah sebaik mungkin ya anakku. Umi
disini sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak umi. Carilah calon
suami yang sebaik mungkin dan jangan sia-siakan kehidupan along tanpa kehadiran
orang tersayang disisi.
Daripada umimu,
Erida Salleh
Kuat dan tabah seorang suami dan seorang bapa
apabila selesai pengebumian isteri kesayangannya aku lihat abah seperti tiada
lagi air mata untuk dititiskan. Begitu kuatnya kasih sayang abah dan janji taat
setianya pada umi. Tiada titisan air mata yang umi mahu lihat tatkala jasadnya
sudah dimamah bumi itulah janji taat setia yang abah ikat bersama umi.
Abah sedang
bersalaman dengan jemaah-jemaah masjid yang mahu pulang ke rumah
masing-masing selepas selesai bertahlil
di rumah aku. Sayu dan sunyi keadaan kediaman yang penuh suka duka ini cuma
kelihatan kelibat saudara mara aku datang ke rumah membantu kakak mengemas
rumah yang berkecah.
Kakak kesayangan
aku merangkap pengarang jantung aku, Syaza Aleya sanggup pulang daripada
Melbourne, Australia apabila dikhabarkan berita sedih ini. Puas abah menegahnya
daripada pulang ke Malaysia tetapi kakak tetap bebal dan degil seperti aku.
Kakak tetap pulang untuk menghadiri pengebumian umi.
Sepatutnya
waktu-waktu begini kakak duduk di meja belajar untuk mengulangkaji kerana
peperiksaan untuk mendapat pangkat PHD tidak lama lagi. Kakak bakal menamatkan
pengajiannya kurang daripada setengah tahun. Kakak adalah kakak yang terbaik
pernah aku temui. Kakak selalu mendahulukan keluarganya walau dalam pelbagai
situasi.
Aku duduk di
pangkin pokok di sekitar rumahku terkenangkan nasib diri yang kehilangan ibu
disaat usiaku baru menginjak 25 tahun. “Am, tabahlah engkau! Masih ramai lagi
kanak-kanak di luar sana kehilangan ibu mereka pada umur yang lebih muda daripada
engkau. Jadikan setiap kekurangan dalam kehidupan engkau itu adalah kekuatan
untuk engkau berdiri kukuh dalam hidup ini.” Hati kecil aku meronta minta
dilepaskan dirinya daripada belenggu kesedihan.
Umi tidak
sempat melihat salah seorang anaknya berumah tangga ketika hayatnya masih ada.
Akak melihat aku daripada jauh hanya mampu menggelengkan kepala. Sudah kakak
ketahui adiknya dirundum duka yang melampau. Untuk kali kedua adik kehilangan orang
yang disayanginya. “Tabahlah wahai adikku setabah isteri-isteri Rasullah.”
Walaupun kakak
duduk di luar negara tetapi kakak sentiasa mendengar cerita adik daripada umi.
Kakak pasti akan pulang ke Malaysia 3 bulan sekali untuk mengubat kerinduannya.
Kakak sering menelefon ibu untuk mendengar khabar kami yang berada jauh dari
sisinya. Kakaklah salah seorang yang rapat dengan ibu. Apa sahaja masalah umi
akan luahkan kepada kakak dahulu dan barulah padaku.
“Adik, kakak
tahu kakak adalah anak susuan kepada umi sebelum adik lahir di dunia ini. Kakak
selalu berharap yang salah seorang daripada ahli keluarga kakak akan datang
jemput kakak tetapi hampa. Mereka langsung tidak ada perasaan sayang terhadap
kakak. Kakak juga sayangkan umi kerana umi adalah segala-galanya bagi kakak
begitu juga abah. Mereka tiada galang gantinya bagi kakak.
Tetapi apabila
kakak teringatkan sesuatu yang umi katakan pada kakak 40 hari sebelum umi
menemui ajalnya kakak terus bersemangat untuk teruskan kehidupan kakak. Kakak tidak
ada sesiapa lagi di dalam dunia ini tetapi adik beruntung kerana adik ada ahli
keluarga dan saudara mara yang sayangkan adik.
Kakak apa yang
ada. Kakak hanya menumpang kasih daripada umi dan abah sahaja. Disebabkan itu
setiap perkara yang akan kakak lakukan kakak akan bertanya pendapat umi dan
abah. Kakak mahu adik jadi setabah yang mungkin. Kakak tahu adik yang paling
kuat di kalangan kakak dan abah. Adik pernah hadapi rintangan yang kakak
sendiri tidak mampu hadapinya seorang diri.” Pertuturan kakak terhenti disitu.
Kedengaran bunyi sendu tangisan yang keluar. Aku tahu kakak juga merasakan
tempias kesedihan itu.
Aku tidak mampu
berkata apa-apa. Aku tidak mampu untuk membuka mulut dan membidas kata-kata
kakak. Kakak kesat air matanya dengan hujung baju kurung yang dipakainya dan
pergi ke dapur menyambung kembali kerja-kerja yang masih berbaki.
“Along yang
kakak kenali dahulu bukannya begini. Along yang kakak kenali dahulu petah
berkata-kata dan jarang untuk kakak melihat along menangis. Along yang dahulu
selalu sahaja mahu menjuarai setiap apa yang dia lakukan. Bukan along yang
sekarang yang selalu sahaja kalah dengan jiwa dan perasaannya. Ya Allah,
bantulah adikku. Pimpinlah dia ke kancah kebahagiaan.” Suara hati kakak yang
tidak mampu aku dengari tetapi yang di atas sana selalu sahaja mendengarnya.
Sudah aku
ketahui kakak mungkin sudah berputus asa untuk menasihati aku. Pelbagai nasihat
yang kakak berikan kepada aku untuk memulihkan semangat aku yang sudah mulai
rapuh. Aku seperti tidak kisah dengan pembaziran air mata yang aku hamburkan.
Aku tetap menangis dan terus menangis.
Sebenarnya air
mata yang aku hamburkan ini bukanlah untuk meratapi kesedihan pemergian umi
sahaja tetapi pada keesokkannya adalah majlis walimatulurus Syafiq Hazwan bersama dengan isteri pilihan ibunya. Dalam tangisan aku selalu iringi doa
kepada pasangan bahagia ini semoga perkhawinan kedua yang Wan bakal bina ini
kekal hingga jannah.
“Masih ada lagi
cinta aku buat Wan? Wahai hati tolonglah jawab dengan sejujur-jujur yang
mungkin.” Hati aku berkata-kata tetapi aku tak mampu untuk berikan jawapan pada
soalan yang hati aku utarakan. Mati sahaja soalan itu disitu kerana sememangnya
aku tiada jawapan untuknya.
“Bersabarlah
ketika menghadapi saat-saat kehilangan orang yang tersangat. Senyumlah walaupun
sesak didada ini kita sendiri tidak mampu menahannya.”
No comments:
Post a Comment